Aku membaca sejak kecil kerana dengan membaca, aku bagai hilang dari dunia sebenar, dipeluk selamat dengan cerita-cerita yang pelbagai. Menginjak dewasa, buku sekadar eskapisme, bukan sekadar penyelamat jiwa tetapi buku memberitahu, menasihati dan paling penting memberi amaran yang dunia tidak berkisar tentang diri kau semata-mata.
Aku menulis sejak kecil, sejak kutahu mengeja namaku sendiri pada usia tujuh tahun. Bermula dengan menulis pengalaman sendiri, kemudian tulisanku bercambah menjadi cerita-cerita rekaan yang meronta-ronta mahu keluar daripada kepala.
Akhirnya aku menulis untuk dibaca oleh orang ramai. Ramai yang memuji dan ramai yang mengeji.
Setiap pembaca datang dengan pendapat berbeza. Ada yang suka dan ada yang kecewa. Aku sedar, memuaskan semua orang sesuatu yang mustahil. Kemudian aku teringat sebab awal aku mula menulis dulu. Pertama sekali, aku menulis untuk diri sendiri.
Watak-watak yang aku cipta ialah bayangan daripada segala yang berlaku dalam hidupku. Mereka yang aku ingin jadi, yang aku kagumi, yang aku takuti, yang aku pernah temui dan yang aku sayang.
Menulis membantuku memindahkan beban dalam dada.









